Tuesday, September 30, 2008

Kenapa Nafsu Tak Pernah Lesu


Apabila tiba bulan Ramadan, syaitan dibelenggu dan manusia selamat daripada diganggu. Yang tinggal hanyalah nafsu, dan nafsu itu boleh dilemahkan dengan kelaparan, iaitu puasa.

Jadi, pada bulan Ramadan, syaitan pun tiada, nafsu pula telah dilemahkan oleh puasa kita. Kalau difikir-fikirkan, kita sepatutnya 100 % bebas daripada melakukan dosa dan maksiat di sepanjang bulan Ramadan.

Tapi, realitinya nyata berbeza.

Entah di mana silap atau kurangnya puasa kita? Dosa tetap dilakukan, maksiat tetap dibuat, walaupun pada bulan Ramadan.

Kenapa? Kenapa kita masih tidak mampu menahan nafsu dan menahan diri daripada melakukan maksiat? Adakah puasa kita tidak berkesan untuk melemahkan nafsu? Adakah Allah tidak menerima puasa kita?

Untuk menjawab soalan ini, mari kita imbau kembali kehidupan kita selama ini, 11 bulan sebelum tibanya Ramadan.

Selama 11 bulan itu, apa yang kita buat? Renung-renungkan kembali.

Kalau 11 bulan itu kita telah isi dengan banyak amal ibadah, maka kita tiada masalah untuk tidak melakukan maksiat pada bulan Ramadan. Masalahnya timbul apabila kita sering melupakan Allah dan sentiasa menurut tuntutan nafsu selama 11 bulan itu.

Selama 11 bulan kita bergelumang dengan maksiat, dan selama itu jugalah kita telah dikuasai oleh nafsu yang mengganas. Nafsu kita telah menjadi terlalu liar dan payah hendak dijinakkan.

Eh, bukankah puasa boleh melemahkan nafsu?

Ya, puasa memang akan melemahkan nafsu. Tapi, puasa kita selama sebulan itu tidak mampu untuk melemahkan nafsu dengan sepenuhnya. Seekor harimau liar, takkan menjadi jinak dalam masa sebulan. Begitu jugalah dengan nafsu kita.

Selama 11 bulan, kita berikan nafsu dengan berbagai-bagai hiburan. Kita kenyangkan nafsu dengan makanan yang sedap-sedap. Tapi, kita lupa untuk menundukkan nafsu dengan zikrullah. Maka nafsu menjadi liar dan terus bermaharajalela. Nafsu itulah yang mengajak kita ke arah maksiat, dan kita tak mampu untuk menolaknya.

Itulah sebabnya mengapa nafsu kita tak pernah lesu walaupun kita berpuasa. Puasa selama 30 hari sahaja memang tidak mampu untuk menjinakkan nafsu yang liar.

Tapi, kita jangan cepat mengalah. Masih ada caranya untuk melemahkan nafsu. Walaupun susah, ianya pasti boleh dilakukan. Pasti. Hanya keazaman yang tinggi diperlukan. Pertingkatkan amal ibadah kita, dan bersama-sama kita berdoa kepada Allah.


Puasa kita tetap berupaya untuk melemahkan nafsu walaupun tidak sepenuhnya. Mari, kita lancarkan jihad untuk melawan nafsu.

Allahuakbar.


No comments:

Post a Comment

SiteSearch Google
Google