Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

SiteSearch Google
Google
 

Wednesday, September 16, 2009

Mahu Jadi Biasa atau Luar Biasa?

Impian saya semasa kecil dahulu ialah menjadi seorang yang luar biasa. Saya mahu menjadi seorang yang mempunyai kuasa istimewa. Mungkin bukan seperti ‘Superhero’ yang terbang di angkasa, tetapi seorang yang mempunyai kuasa istimewanya yang tersendiri. Saya mungkin banyak terpengaruh dengan buku-buku yang mengisahkan watak-watak dengan kuasa istimewa.
Paling terkesan ialah cerita Mathilda oleh Roald Dahl. Yang saya impikan ketika itu adalah mempunyai kuasa ‘psychic’ sepertinya. Pernah juga dulu rakan-rakan menggelarkan diri saya ini “GK”, dengan pelbagai maksud yang berbeza dek kerana saya gilakan kuasa yang pelik-pelik.
Bila menginjak usia remaja, saya telah memilih untuk menjadi orang yang ‘biasa-biasa’ saja. Bukan biasa dengan erti kata tiada kuasa istimewa, tetapi biasa seperti mana rata-rata orang Islam lainnya, atau lebih tepat lagi, biasa dalam erti kata 'Islamnya'. Kenapa? Kerana ketika itu bagi saya, orang yang membawa imej Islam nampak berbeza dari segi fizikalnya. Mereka seolah-olah manusia pelik. Kebanyakan mereka bertudung labuh lebih daripada biasa, senyap dan sangat bersopan. Bukan bermaksud saya tidak boleh menerima kewujudan mereka, tapi lebih kepada diri saya sendiri. Saya dapat rasakan bahawa diri ini akan menjadi pelik sekiranya saya menjadi seperti mereka. Ditambah lagi dengan tanggapan bahawa orang seperti mereka ni agak kolot, berfikiran tertutup dan asyik bersama dengan kelompok mereka sahaja. Saya kadang-kadang pelik dengan mereka. Bagaimana mereka nanti akan dapat menempuh dunia yang semakin mencabar dengan keadaan mereka yang sebegitu? Bagaimana mereka mahu bergaul dengan masyarakat dalam keadaan tidak boleh menerima pendapat semasa? Dan pelbagai lagi persoalan lain yang didasari tanggapan bebas diri sendiri.

Oleh kerana itu saya telah memilih untuk menjadi manusia yang biasa saja. Tidaklah baik sangat dan tidaklah teruk sangat (kononnya!). Pada hemat saya, cukuplah saya solat, belajar agama, menghormati Islam dan menjaga batas-batas (walaupun pada ketika itu apa yang saya ketahui sebenarnya sangatlah terbatas). Saya beranggapan bahawa dengan menjadi antara orang-orang yang di tengah inilah yang paling bagus kerana saya boleh menerima dan diterima sesiapa saja. Orang yang ‘biasa-biasa’ dengan moto hidupnya, "Enjoy-enjoy juga, solat jangan lupa!". (Enjoy=maratahon DVD, main game, hang-out dengan kawan-kawan, berlibur dan berhibur)


Tanpa saya sedari, rupanya sayalah manusia yang telah memilih ‘Jalan Kelabu’; Manusia yang memisahkan antara agama dan kehidupannya yang lain atau erti kata lainnya manusia yang SEKULAR.

Dan tanpa saya sedari juga, saya telah memilih jalan yang salah! ‘Jalan Kelabu’ itu tidak wujud sama sekali. Hidup ini hanya ada dua pilihan. Putih atau Hitam. Haq atau Batil. Benar atau Salah. Baik atau Jahat. Syurga atau Neraka.

Jalan Kelabu yang saya pilih itu hanyalah satu ilusi. Ilusi untuk membawa saya terjerumus ke Jalan Hitam. Bahkan bukan saya saja, tetapi juga orang-orang Islam yang melihat Islam dan kehidupannya seperti ada pemisah.

Ah, lihat saja.

Islam di sini kelihatan gah dengan masjidnya.

Islam di sini kelihatan bila orang ingin membina masjid mereka.

Islam di sini kelihatan dengan ritual ibadahnya saja.

Bagaimana pula dengan lainnya? Dan saya bakal ketawa geli hati bila mana orang memanggil ini negara Islam sedangkan seumur hidup saya tidak melihat islamnya.


Pergilah ke mana-mana kompleks membeli-belah terkemuka. Saya kadang-kadang terasa pelik. Seolah-olah saya berasa di bumi yang sungguh asing. Iklan yang terpampang langsung tidak menunjukkan pendirian negara ini; Oh, ya negara islam contoh. Sedang kebanyakan manusia yang menjadi isinya memilih untuk menjadi manusia yang biasa-biasa sahaja. Biasa dan sederhana dalam pengertian mereka sebagai seorang Islam. Oh, kalau dulu mungkin dilihat manusia yang biasa ialah mereka yang mematuhi semua rukun islam dan tidak nampak extreme dengan pakaian mereka.

Tapi itu definisi biasa pada manusia yang biasa pada masa zaman saya. Definisi yang dicipta oleh manusia akan berubah mengikut selera mereka. Kini, orang Islam dalam kategori biasa mungkin seperti ini pula:

-Solat. Tapi tidak cukup 5 waktu pun tak mengapa, janji solat.

-Berpacaran. Berpegangan adalah biasa, jika tidak itu alim.

-Bertudung. Dengan erti kata rambut atau sebahagian rambut itu tertutup. Tapi ya, hanya rambut, bahagian lain tidak termasuk syarat utama.

- dan senarai ini berterusan mengikut kehendak sendiri....


Kalau inilah definisi manusia yang ‘biasa-biasa sahaja’ pada masa sekarang, bagaimana pula nanti akan datang? Apa lagi ‘biasa-biasa sahaja’ yang akan mereka terjemahkan lagi? Akan makin kurang syaratnya?

Saya bukan mahu tujukan ini kepada sesiapa. Bukan juga mahu bersikap pesimis. Juga bukanlah kerana saya ingin berkata yang saya ini lebih bagus dan mereka tidak.

Adalah penting untuk kita jelaskan bahawa tidak wujud sama sekali definisi Islam dengan cara kita sendiri: Islam yang sekerat-sekerat dengan mengambil apa yang disukai sahaja. Masih ramai orang Islam hari ini yang mengambil cara mudah dengan memilih untuk berada di jalan tengah yang sememangnya tidak wujud sama sekali. Betapa ramainya lagi orang Islam dalam masyarakat kita yang masih kabur dengan memilih untuk menjadi orang Islam yang biasa-biasa ini? Mereka ingin menjadi orang biasa yang ingin mengambil Islam secara sederhana. Orang-orang yang mungkin juga berubah-ubah definisi mereka terhadap definisi 'sederhana' itu sendiri. Apakah maksudnya sederhana itu dengan memakai tudung sekerat cuma? Atau sememangnya definisi sederhana itu kepada mereka ialah dengan tidak mencampur adukkan urusan agama dengan kehidupan lainnya?


Sesiapa pun boleh memilih untuk menjadi orang biasa yang sibuk memikirkan persepsi orang lain terhadap mereka. Mungkin dengan memilih untuk menjadi orang yang biasa-biasa itu akan kelihatan lebih mesra dan mudah didekati oleh semua golongan. Boleh jadi juga manusia yang biasa-biasa ini ialah diri ini yang mungkin masih terlekat lagi jahiliyahnya kerana tidak mahu dilihat aneh oleh orang biasa-biasa yang lainnya.


Jika begitu, perlu saya mengingatkan diri ini bahawa Islam itu datang untuk mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan total kepada Allah semata-mata. Andai kita masih melihat diri dari kaca mata manusia sahaja, apakah sudah lengkap Islam itu pada diri kita? Apakah kita masih ragu-ragu untuk melakukan sesuatu yang mungkin kelihatan aneh dan janggal dalam masyarakat sedangkan itulah hakikat Islam yang sebenar?


Sekarang, saya tidak mahu menjadi orang yang biasa-biasa lagi. Saya mahu jadi luar biasa! Luar biasa ke arah jalan yang Benar, jalan yang Haq, Jalan yang Putih, Jalan yang ke Syurga pastinya. Saya mahu berada di jalan Al-Haq, bukan lagi al-Hawa’. Saya tidak mahu lagi pilih jalan kelabu yang keliru itu. Saya harap kamu juga tidak begitu. Jadi kita boleh sama-sama mengikut jalan yang luar biasa tetapi benar ini. Saya harap untuk jumpa kamu di syurga, mahukah kamu?


Oh ya, jangan lupa juga bawa mereka yang berada di sekeliling kamu..saya pasti mereka juga mahu ke sana. Cuma, mereka mungkin keliru dalam memilih jalannya.



Saya teringin untuk mendengar Tuhan memanggil kita semua kelak apabila sampai di sana...


"Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kamu kepada Tuhanmu dengan redha dan diredhai. Maka masuklah dalam golongan hamba-hambaKu. dan masuklah dalam SYURGAKU"

(89: 27-30)


Mari!


Tulisan hati:

Bukan Orang Biasa

~Hamra’ Al-Asad~

Tuesday, June 30, 2009

apasal nak marah-marah ni??




Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa seorang lelaki berkata kepada Rasulullah S.A.W : “Berilah wasiat kepada aku”. lalu Rasulullah S.A.W bersabda : “Jangan Marah”. Lelaki tersebut mengulangi pertanyaannya berkali-kali, sabda Rasulullah: ”Jangan Marah” . [Sahih Bukhari]



Hadith di atas menceritakan berkenaan menahan marah. Jika diteliti, perkataan yang diucapkan oleh Nabi amatlah ringkas, tetapi padanya terhimpun segala kebaikan dan menghalang segala kejahatan.


Muslim adalah seorang insan yang mempunyai sifat-sifat yang mulia sperti lemah-lembut, malu, tawaduk, kasih kepda manusia, memberi keampunan ketika mampu membalasnya, sabar di atas kesusahan, menahan marah ketika orang melakukan kesalahan ke atas dirinya dan bermanis muka dalam semua keadaan.


Imam Hasan Al-Basri telah berkata :” 4 perkara sesiapa memilikinya Allah akan memeliharanya daripada syaitan dan mengharamkannya daripada api neraka. Iaitu siapa yang mampu menahan nafsunya

ketika berkeinginan,

ketika takut,

ketika bersyahwat dan

ketika marah. ”


Mudah marah dan tunduk kepadanya adalah petanda lemahnya insan sekalipun memiliki tubuh badan yang gagah dan sihat.


Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya : Rasulullah s.a.w. bersabda : ”Bukanlah orang yang gagah itu orang yang kuat bergusti, tetapi orang yang gagah adalah orang yang mampu menahan dirinya ketika marah.”


Sebab-sebab kemarahan


Banyak dan berbagai, antaranya :

  1. sombong
  2. takabur
  3. ingin mengatasi orang lain
  4. megah
  5. terlalu banyak bergurau terutamanya dalam perkara yang bukan kebenaran.

Cara merawat kemarahan

1. Melatih dan membiasakan diri supaya berakhlak dengan akhlak yang mulia seperti lemah-lembut, sabar dan tenang dalam pengurusan. Contoh ikutan kita dalam hal ini ialah Rasulullah s.a.w. sendiri.


Zaid Bin Sa’nah berjumpa Nabi (sebelum keislamannya) untuk menguji sifat kenabian dan pada masa yang sama untuk menuntut hutang Nabi kepada beliau. Lalu Zaid menuntutnya dengan keras dan kasar hingga berbekas pada leher Nabi akibat sentakan Zaid. Lantas Umar yang berada disitu marah dan ingin membalas perbuatan Zaid tadi, tetapi Nabi berlapang dada dan tersenyum dengan perbuatan Zaid itu dan sebaliknya memarahi Umar ” Kamu sepatutnya menuruh aku(Nabi) membayar hutang dan menyuruh Zaid menuntut hutang dengan cara yang baik.” Lalu Rasulullah menyuruh Umar membayar hutang lelaki Zaid dan menambah jumlahnya disebabkan kekasaran Umar kepada Zaid.


Dengan sebab itu, Zaid kemudiannya memeluk Islam. Maka benarlah antara salah satu sifat nabi ialah sifat lemah lembutnya mengatasi sifat marahnya dan sifat terlalu jahil orang yang jahil akan menambahkan lagi sifat lemah lembutnya.


2.Mengawal diri ketika marah.


Imam Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : ”Barangsiapa yang menahan kemarahannya sedangkan dia mampu untuk melakukannya, Allah akan memanggilnya dihadapan khalayak ramai di hari akhirat kelak serta diberi peluang untuk memilih mana sahaja bidadari yang dia kehendaki


Imam Ahmad : ”Tidak ada seorang hamba yang menahan kemarahannya melainkan Allah akan memenuhkan hatinya dengan iman


3. Meminta perlindungan dari Allah.


Rasulullah s.a.w. bersabda : ”Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah sekiranya dia menyebutnya, nescaya akan hilang apa yang ada padanya(kemarahan), jika ia mengatakan : Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam [Sahih Bukhari dan Muslim]


4. Mengubah kedudukan ketika marah.


Imam Ahmad dan Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : ”Apabila salah seorangkamu marah dalam keadaan berdiri, maka hendaklah dia duduk, maka akan hilanglah kemarahannya, sekiranya tidak hilang, maka hendaklah dia berbaring.


5. Tidak berkata-kata.


Imam Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : ”Apabila salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah dia diam.” Rasullulah mengulanginya sebanyak 3 kali.


6. Berwuduk.


Imam Ahmad dan Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :

Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan dijadikan daripada api. Apabila seseorang daripada kamu marah, hendaklah dia berwuduk


Langkah-langkah diatas adalah bagi mengatasi kemarahan. Tetapi disebalik semua itu, Islam mencela kemarahan atas dasar membalas dendam dan bukan kerana Allah sebaliknya Islam membenarkan kemarahan kerana Allah disebabkan perkara yang diharamkan oleh agama dicerobohi. Juga apabila sesuatu mengancam jiwa, harta dan kehormatan seorang muslim. Dalam hal ini, marah adalah satu perkara yang terpuji dan dituntut.


Telah diriwayatkan : ”Rasulullah s.a.w. tidak pernah marah dengan sesuatu sebab. Tetapi apabila apa yang diharamkan oleh Allah dilakukan, maka pada ketika itu sesuatupun tidak boleh menundukkan kemarahannya.


Hadith ini boleh dilihat dari aspek lain. Seorang muslim perlulah berfikir dahulu sebelum bercakap atau membuat sesuatu. Sebaik sahaja perasaan marah menguasai diri, seseorang hendaklah memikirkan kenapa marah itu datang dan adakah perlu untuk marah?? Juga perlu untuk ingat kepada Allah dan hari akhirat, ini akan membuatkan seseorang itu untuk bertenang dan tidak jadi marah.


Semua huraian ini boleh digunakan sebagai cara untuk mengawal kemarahan yang mana kalau dilihat pada masa kini, kita marah terhadap perkara yang tidak sepatutnya dan kadang-kadang hingga hampir terjadi pergaduhan. Jadi sebelum marah tu, fikir dahulu apa akan kita dapat jika kita marah..


wallahu'alam


sumber : 1.Syarah Hadith 40 Imam Nawawi

2.http://fortyhadith.iiu.edu.my


Thursday, June 25, 2009

Jiwa Dai’e Otak Faqih

albanna.jpg

Semasa hayat Hasan al-Banna, beliau pernah berhadapan dengan suatu peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan. Ahli Jemaah di sebuah masjid bertelagah soal rakaat Solat Tarawih, sama ada patut dibuat lapan atau dua puluh rakaat. Suasana begitu tegang sehingga timbul bahasa-bahasa yang keras. Akhirnya, apabila Hasan al-Banna muncul, beliau ditanya oleh mereka yang bertelagah itu, mana satukah pendapat yang betul dalam hal ini?
Kata Hasan al-Banna, “Apakah hukum solat tarawih dan apakah pula hukum menjaga kesatuan umat Islam?”
Mereka menjawab, “solat tarawih itu sunat, manakala menjaga kesatuan umat Islam adalah wajib”.
Lantas Hasan al-Banna menjawab, “Apakah kamu mahu mengorbankan kesatuan umat Islam yang wajib itu hanya kerana soal solat terawih yang sunat? Bagi yang mahu menunaikan lapan, tunaikan lapan, bagi yang mahukan 20, bebas juga berbuat demikian”.
Inilah yang saya maksudkan sebagai Jiwa Da’i Otak Faqih.
Bagi kita yang berperanan sebagai Da’i, perlu sentiasa ingat bahawa tugas kita adalah untuk mengumpulkan manusia seramai mungkin di bawah panji Islam. Untuk itu kita perlu mengamalkan suatu akhlak yang diajar oleh Nabi s.a.w. untuk para Da’i.
Ketika seorang Arab badwi masuk ke masjid dan kencing ke dinding masjid, Baginda SAW menegah sahabat daripada bertindak ke atas Badwi itu. Dia datang dengan kesilapan adab, tetapi dengan niat mahu mempelajari Islam. Utamakan niat tersebut, dan teladan Nabawi ini saya simpulkan ia di bawah suatu sikap positif berbunyi, “Seek First to Understand, Then to be Understood“.
Kita perlu belajar untuk memahami mad’u yang diseru dan bukannya siang malam pagi petang berleter marahkan orang ramai yang tidak faham-faham akan mesej Islam yang kita cuba bawa.
Dalam isu Hasan al-Banna di atas, jiwanya sebagai seorang Da’i tidak melihat perbalahan soal afdhaliyyah Solat Terawih sebagai soal hukum atau masalah nas. Masalah yang berlaku di masjid berkenaan adalah masalah SIKAP dan CARA BERFIKIR.
Perbezaan pandangan tentang keutamaan di antara 8 atau 20 rakaat solat Sunat Tarawih itu sudah lama, seusia dengan umur umat ini. Namun ia tidak pernah menjadi racun yang membunuh kesatuan umat, sehinggalah persoalan hukum dikelabukan oleh permasalah yang lebih besar.
Masalah sikap.
Masalah akhlaq.
Hal seperti itu bukanlah masalah yang boleh diselesaikan dengan melambakkan sebanyak mungkin nas al-Quran dan Hadith kerana dengan cara berfikir yang salah, tiada siapa yang mampu menghargai nas al-Quran dan Hadith.
Inilah yang banyak berlaku di dalam masyarakat kita dan saya tidak menyalahkan orang ramai seandainya mereka bosan dengan pendekatan para agamawan yang asyik menyelesaikan masalah dengan pendekatan ‘hukumnya ialah…”
DA’I HARUS LEBIH TINGGI UPAYA MEMAHAMI
Seorang Da’i yang berjiwa Da’i akan belajar untuk memahami mad’u yang diseru, sebelum dia boleh meletakkan harapan agar mad’unya memahami dakwah yang dia bawa.
Mari kita semua bermenung di KLCC Suria or One Utama Shopping Complex selama 30 minit dan ukurlah berapa jarak manusia di situ dengan mimbar-mimbar masjid dan ‘usrah’ kita. Pernahkah kita menilai sudah berapa jauhkah masyarakat kita berubah dan sudah berapa jauhkan kita mengubah pendekatan dakwah kita untuk mengejar perubahan masyarakat?
Saya selalu terkenang dialog saya ketika bertemu dengan seorang anak gadis kita yang telah 10 tahun membesar di England. Semenjak usianya 10 tahun dan kini telah mencecah 20 tahun, beliau dibesarkan di Boarding School, jauh dari alam Melayu malah Islam barangkali. Dialog saya bersamanya bermula dengan soalan yang sangat tidak dijangka. Dia mengajukan soalan kepada saya, “do you believe in wearing scarf for Muslim girl? I don’t believe in wearing scarf. If God doesn’t want us to show our hair, then He will create us bald. I don’t want to wear scarf.
Soalannya amat provokatif. Dia juga bertanya soal kenapa mesti solat, kenapa tidak boleh bela anjing di rumah dan beberapa soalan lain, yang asalnya tidak terjangkau oleh fikiran saya ia akan ditanya oleh seorang Muslim.
Seandainya saya mengambil pendekatan ‘seorang ustaz’, mungkin saya akan leterkan beliau ayat-ayat al-Quran dan Hadith berkaitan kewajipan bertudung dengan panjang lebar dan penuh nota kaki. Akhirnya saya sahaja yang syok sendiri terhadap betapa banyakkan dalil yang berjaya saya ingat dan bentangkan dengan fasih! Gadis tersebut mungkin menguap dan menutup telinganya sambil menanti saya mengangkat punggung dan beredar.
Saya tidak punya pengalaman untuk mengendalikan keadaan seperti itu. Bekalan yang ada hanya sebuah sikap yang saya yakin penting. Tekan butang pause, bertenang, dan cuba untuk melihat apa yang tidak diperlihatkan. Persoalan sebenar berbanding persoalan yang ditanya. Apakah benar, tudung, solat dan bela anjing itu masalah sebenarnya, atau ada masalah lain yang lebih kritikal di sebalik semua itu.
“Saya tidak rasa itu patut jadi persoalan awalan kita. Mungkin elok kita bincang persoalan yang lebih perlu diselesaikan. Sesuatu yang lebih pokok,” saya memberanikan diri mencadang.
“Oh begitu. Baik, apa persoalan utama ustaz?” tanya gadis tadi.
“Apa tujuan hidup awak? Apa yang awak nak capai dalam hidup ini?” saya menyoal.
“Penting sangatkah nak tahu tentang tujuan hidup?”, tanyanya lagi.
“Cuba awak bayangkan, kita adakan permainan bola sepak, tetapi di padang bola tiada tiang gol! Atau awak main golf tetapi tidak tahu di mana lubangnya. Apa rasanya kalau awak terlibat dalam permainan seperti itu?” saya menguji.
Silly game.. mengarut!” ujarnya sambil tersengih.
Well, kita mungkin ketawakan mereka yang main bola atau golf begitu, tetapi sebenarnya kita sedang ketawakan ramai manusia yang hidupnya tiada tiang gol dan tiada lubang golf. Betul tak?” saya menyoalnya.
Dia menggangguk.
“Kalau kita tak tahu tujuan hidup kita yang sebenar, bagaimana kita nak fokus dan membuat prioriti? Saya yakin saudari boleh setuju bahawa kegagalan untuk fokus dan membuat prioriti, adalah cara mudah untuk gagal dalam hidup. Awak setuju?” saya meneruskan perbualan.
“Ya, saya boleh bersetuju.” jawabnya.
“Jadi, apa tujuan hidup awak?” saya menyoal.
“Saya nak berjaya dalam kerjaya, ada firm sendiri dan dengan pendapatan jutaan Pound setahun!” katanya dengan yakin.
“Awak belum dapat berjuta Pound setahun. Ada orang dapat berjuta Pound sehari, tak bahagia pun. Tu si Donald Trumph, kaya raya. Tetapi dia tidak bahagia, ‘diceraikan’ oleh isterinya. Saya tidak rasa berjuta Pound itu tujuan hidup awak atau sesiapa” saya mengulas sedikit. Cuba melontar provokasi.
“Hmm…,” dia mengeluh. Sepi tanpa jawapan…
“Habis, apa tujuan hidup ustaz?” gadis itu bertanya kepada saya.
“Hmm, awak rasa, saya ada ke jawapannya? Awak ada jawapannya? Saya rasa kita sama-sama tak ada jawapan sebab TUJUAN HIDUP kita telah ada sebelum kita lahir. Jika kita tanya lampu ni kenapa dia diciptakan, andai dia boleh menjawab, mungkin dia tidak tahu kenapa dia berada di sini. Logiknya kita kena tanya kilang yang membuat lampu itu tadi. Dan kalau kita tanya ke kilang, mereka akan memberikan koleksi soalan dan jawapan di dalam sebuah KITAB bernama Instruction Manual. Begitulah juga dengan manusia. Jika mahu kepada jawapan, kenalah tanya kepada Tuhan yang menciptakan manusia iaitu Allah. Dan Allah telah memberikan kepada kita koleksi soalan dan jawapan di dalam Instruction Manual-Nya yang bernama…” cakap saya terputus.
“Al-Quran! What does the Quran say about our PURPOSE OF LIFE?“, gadis tersebut memintas saya dengan soalannya.

“DAN tidaklah Aku jadikan Jin dan Manusia melainkan supaya mereka beribadah dan mengabdikan diri kepadaKu. Surah al-Dzariyat ayat 56″ saya menjawab.

Lantas saya mengambil peluang untuk menjelaskan secara ringkas kepada beliau konsep ibadah dalam Islam. Bahawa selain solat dan ibadah khusus yang lain, apa sahaja pekerjaan yang kita lakukan jika memenuhi kriteria Islam, maka ia jadi ibadah. Dan akhirnya saya membuat kesimpulan berikut:
“Seandainya saudari boleh menerima hakikat yang saudari perlukan Tuhan dalam hidup ini, maka barulah saya boleh menjawab soalan kenapa kita kena sembahyang. Kita perlu sembahyang kerana kita perlukan Tuhan dalam hidup ini. Jika saudari boleh bersetuju dengan kewajipan sembahyang, maka barulah saya boleh terangkan kenapa saudari kena pakai tudung. Analoginya jika kita mengadap Yang Di Pertuan Agung pun ada kod berpakaian, dan itu haknya kerana dia ketua pemerintah negara. Maka apatah lagi untuk menghadap Allah di dalam sembahyang dan di luar sembahyang, tentunya kita kena bertudung kerana itu kehendak Dia. Dan jika awak setuju sampai ke situ, saya boleh jelaskan kenapa Islam tidak benarkan kita bela anjing. Islam cuma mengajar, andai dijilat anjing, samaklah dengan air dan tanah. Tetapi Islam tidak pernah mengajar kita supaya membenci anjing dan memukulnya. Itu semua soal adat. Jangan salahkan Islam atas apa yang orang Melayu buat!” saya mengakhiri penerangan terhadap semua persoalan yang tertangguh.
PERCUBAAN
Alhamdulillah dalam tempoh sejam pertemuan saya dengannya, itulah hasil perbincangan kami.
Walaupun kesannya saya tidak pasti tetapi sekurang-kurangnya saya sudah mencuba untuk menghadapi mad’u saya dengan konsep Jiwa Da’i Otak Faqih dan tidak sebaliknya.
Gadis itu ada latar belakang keluarga yang berbeza. Dia bukan seperti saya dan kehidupan saya. Kerana itulah saya mesti terlebih dahulu cuba belajar untuk memahami keadaan dia sebelum memutuskan apakah pendekatan dakwah yang patut saya ambil. Andai saya hamburkan kemarahan atas provokasi gadis tadi, tentulah perbualan kami terhenti di situ dan saya sekadar menggelengkan kepala sambil tersenyum secara sinis, “inilah perangai bebudak sekarang!”

Sunday, June 14, 2009

Amar Ma'ruf Nahi Mungkar; Satu Peringatan

Amar ma’ruf nahi mungkar merupakan satu keperluan yang sangat penting bagi meneruskan kelangsungan hidup masyarakat. Oleh kerana itu kedua – dua hal ini harus ditegakkan di tengah masyarakat. Bahkan, dikalangan orang – orang yang berbuat mungkar, diantara mereka sendiri wajib saling melarang perbuatan mungkar.

Telah berkata para ulama’: “Wajib ke atas orang – orang yang biasa minum minuman keras untuk saling melarang sebahagian yang lain dari perbuatan mungkar, dari minum arak walaupun dia sendiri meminumnya, sehingga tidak terhimpun dua kemungkaran, iaitu berbuat mungkar dan berdiam diri atas perbuatan mungkar”

Aneh dan ajaib sekali!!! Tentu saja manusia tidak menerima perintah untuk berbuat ma’ruf kecuali jika si pemberi nasihat itu sendiri juga berbuat ma’ruf...

Wahai orang yang mengajar orang lain,

Tidakkah untuk dirimu sendiri pengajaran itu?

Mulailah dengan dirimu sendiri dan cegahlah dirimu dari kesesatannya,

Maka kalau engkau melakukan itu bijaksanalah engkau.

Janganlah engkau melarang sesuatu pekerti namun engkau pula berbuat seperti itu

Kehinaan atas dirimu kalau engkau berbuat,

Kehinaan yang besar!!!

44. mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedang kamu melupakan diri (kewajiban) mu sendiri, padahal kamu membaca Al kitab? Maka apakah kalian tidak berfikir? (Al Baqarah, 1:44)

Amar ma’ruf nahi mungkar adalah jaminan untuk menjaga masyarakat dari mendapat laknat Allah.

š
78. telah dila'nati orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. yang demikian itu, disebabkan mereka durhaka dan selalu melampaui batas.

79. mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan Mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya Amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu. (Al Maidah, 78 – 79)

Amar ma’ruf dan nahi mungkar adalah pelindung masyarakat dari laknat Allah, dan apakah laknat itu? Pengusiran dari rahmat Allah…

164. dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang Amat keras?" mereka menjawab: "Agar Kami mempunyai alasan (pelepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertakwa.(Al Araf: 164)

Penduduk ‘Ailah, penduduk Aqabah, iaitu dataran tinggi Aqabah di Jordan, dihujung Laut Merah, yang dikuasai bersama antara Jordan dan Israel??!!, serta Mesir. Di sana dulu hidup satu kaum dari bangsa Yahudi, di mana Allah melarang mereka menangkap ikan pada hari Sabtu. Lalu mereka membuat muslihat terhadap perintah Allah itu. Mereka datang ke pantai pada hari Jumaat petang dan membuat parit – parit untuk mengalirkan air laut ke dalam kolam – kolam, saat air laut surut dan air kembali ke laut, tinggallah ikan – ikan itu di kolam – kolam mereka. Pada hari Sabtu mereka tidak menangkap ikan, namun pada hari Ahad pagi, barulah mereka mengambil ikan – ikan tersebut.

Kerana tipu daya dan muslihat terhadap agama, maka mereka dilarang oleh sekelompok orang – orang beriman yang mengerti dan berfikiran waras.

165. Maka tatkala mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang dari perbuatan jahat dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim siksaan yang keras, disebabkan mereka selalu berbuat fasik. (Al Araf :165)

Terdapat manfaat dari amar ma’ruf nahi mungkar walaupun dalam pandangan anda ia adalah kecil. Apa menfaatnya? Agar ada alasan bagi kita untuk meminta ampun dari Allah. Kerana itu Saidina Umar ketika ditikam dengan pisau dan dipindahkan ke rumahnya, lalu masuk seorang pemuda Ansar untuk mengucapkan kata – kata yang baik (menghiburkan); maka ketika pemuda itu berjalan untuk pergi, Umar melihat pakaian pemuda itu telalu panjang, dalam keadaan berhadapan dengan sakaratul maut, Umar berkata, “Hai pemuda, pendekkanlah pakaianmu, kerana demikian itu akan lebih bersih buat pakaian mu dan lebih suci dihadapan Tuhanmu.” Umar tidak melupakan amar ma’ruf nahi mungkar pada detik – detik terakhir kehidupannya. Terhadap permasalahan apa? Hanya masalah pakaian yang terlalu panjang!

Maka, janganlah kalian menganggap remeh dan kecil sesuatu untuk amar ma’ruf dan nahi mungkar.

"Mengapa kamu menasehati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang Amat keras?" mereka menjawab: "Agar Kami mempunyai alasan (pelepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertakwa.(Al Araf: 164)

Kelompok ini....

Maka tatkala mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang dari perbuatan jahat dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim siksaan yang keras, disebabkan mereka selalu berbuat fasik. (Al Araf :165)


166. Maka tatkala mereka bersikap sombong terhadap apa yang dilarang mereka mengerjakannya, Kami katakan kepadanya: "Jadilah kamu kera yang hina” (Al Araf:166)

Berkata Ikrimah:

Saya sangat disibukkan oleh urusan kelompok yang ketiga ini iaitu kelompok yang mengatakan, “Mengapakah kalian menasihati suatu kaum yang Allah akan membinasakan mereka dengan siksaan yang keras”. Maka saya bertanya kepada Ibnu Abbas “Apakah tindakan Allah terhadap kelompok ketiga ini?” Dia menjawab “Belumkah anda dengar firman Allah : Kami selamatkan orang-orang yang melarang dari perbuatan jahat dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim siksaan yang keras, disebabkan mereka selalu berbuat fasik. (Al Araf :165) maka hukum orang yang berdiam diri terhadap kemungkaran sama dengan orang yang berbuat mungkar, Allah akan menyiksa mereka dengan siksa yang berat.”

Dalam melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar, kita haruslah menjaga dua perkara yang paling penting ini.

Yang pertama adalah IKHLAS! Pernahkah kalian mendengar kisah seorang abid yang melawan syaitan?

Di suatu desa ada sebatang pohon di mana orang – orang di desa itu suka meminta barakah kepada pohon tersebut dan mempersembahkan nazar kepadanya. Maka seorang abid mendatangi pokok itu dengan membawa kapak untuk menebangnya. Syaitan berkata kepadanya, “Hendak ke mana?” Si abid menjawab, “Saya hendak menebang pokok ini!” Syaitan berkata, “Anda nak tebang? Janganlah tebang pokok ini.” Abid berkeras sambil berkata, “Aku akan tebang juga.” Keduanya berkelahi dan syaitan itu tersungkur. Kemudian syaitan itu berkata kepada abid, “Apakah pendapat anda sekiranya kita membuat kesepakatan, anda biarkan pokok itu dan saya akan memberikan wang satu dinar yang akan saya letakkan dibawah bantal anda setiap hari. Dengan wang itu anda dapat bersedekah kepada fakir miskin dan dapat membantu mereka yang memerlukan. Tetapi, dengan syarat anda membiarkan pokok ini, jangan ditebang.” Abid menjawab, “Baiklah.”

Dan keesokan harinya abid mendapati ada satu dinar dibawah bantalnya, begitu juga hari yang kedua. Namun, pada hari ketiga, sudah tiada wang dibawah bantalnya lagi. Dengan perasaan marah si abid membawa kapak menuju untuk menebang pokok yang menjadi tempat pemujaan itu. Dia di sapa oleh syaitan. “Hendak kemana?” Abid menjawab, “Saya mahu menebang pokok ini!” Syaitan berkata lagi, “Anda tak mungkin mampu menebangnya.” Mereka berkelahi dan kali ini abid ditangkap dan dijatuhkan oleh syaitan. Syaitan berkata, “Pada mulanya anda hendak menebang pokok ini lillahiTaala, dan sekarang anda akan menebangnya untuk keuntungan diri sendiri, maka sekarang saya lebih kuat dari anda!

Maka, IKHLAS lah, lillahiTaala. Semua amalan wajib didasari dengan lillahiTaala.

Yang kedua,menyeru yang ma’ruf dengan ma’ruf. Mereka yang hendak menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar haruslah mengerti tentang ma’ruf yang akan diperintahkannya, wajib mengerti hukum syara’, wajib menelaah perbezaan pendapat para fuqaha tentang sesuatu masalah, dan tidak boleh anda menentang seseorang yang mengikuti seorang ahli fiqih yang berbeza pendapat dengan ahli fiqih yang anda ikuti; ini telah disepakati oleh Ummat Islam seluruhnya dalam masalah apapun.

Contohnya, anda melihat seorang yang makan atau minum sambil berdiri lalu anda katakan, “Duduklah!! Duduklah!!”, kemudian anda berteriak kepadanya, “Kalau anda seorang Muslim wajib anda memuntahkannya sebab Rasulullah s.a.w. pernah bersabda(yang bermaksud):

“Barang siapa minum sambil berdiri maka hendaklah dimuntahkan!”

Wahai saudaraku, mari kita pelajari apakah makna hadith itu. Apakah minum sambil berdiri itu hukumnya haram? Apakah ia makhruh tahrim? Paling berat hukumnya adaah makhruh tanzih, sebagaimana kata Ibn hajar dalam Al – Fath; “Makhruh tanzih”, bahkan Ali bin Abu Talib minum didepan pintu Ar Rahbah di Kufah sambil berdiri seraya berkata: “Sesungguhnya manusia menghindari minum berdiri, sedangkan saya melihat Rasulullah s.a.w. minum sambil berdiri, dan saya mengambil petunjuk pada petunjuk baginda.”

Maka, janganlah langsung anda menentang sehinggalah anda mengerti tentang perbuatan ma’ruf yang anda perintahkan itu. Telitilah bagaimana pendapat orang – orang dan janganlah anda seperti kisah orang Kurdi. Seorang Kurdi bertemu dengan seorang Nasrani di jalanan. Orang Kurdi itu berkata, “Marilah masuk Islam!” Orang Nasrani itu menjawab, “Baiklah, mari kita berbincang.” Orang Kurdi itu berkata lagi, “Marilah masuk Islam, jika tidak aku bunuh engkau!” orang Nasrani tadi menjawab, “Baik, mari kita ke rumahku untuk berbicang.” Orang Kurdi itu berkata lagi, “Mariah masuk Islam, jika tidak aku bunuh engkau!” Orang Nasrani itu berkata, “Baik! Saya mahu masuk Islam. Apa yang harus saya lakukan?” Orang Kurdi itu menjawab, “Demi Allah, saya tidak tahu!” MasyaAllah, sesungguhnya dia tidak mengerti!

Maka orang yang menyeru kepada ma’ruf, wajib mengerti betul tentang ma’ruf. Dan wajib menyuruh perbuatan ma’ruf dengan cara yang ma’ruf. Hendaklah anda menyuruh perbuatan ma’ruf dengan cara yang ma’ruf, dengan hikmah (bijaksana), bukan dengan kasar dan keras, kerana orang yang berbuat mungkar itu adalah orang sakit dan anda adalah doktornya. Maka anda perlu mengubatinya dengan cara yang terbaik, dengan bijaksana dan kasih sayang, membuatnya merasakan kecintaan.

125. serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. (An Nahl : 125)

Tuhan berfirman kepada Rasulullah s.a.w.(yang bermaksud)

59. Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu Berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. karena itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, Maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya. (Ali Imran : 159)

Pada suatu waktu datanglah seorang lelaki kepada Harun Ar Rashid dan berkata, “Sesungguhnya saya hendak menasihatimu, tetapi dengan kata – kata kasar maka bersabarlah terhadap saya!” Beliau menjawab, “Saya tidak mahu, sungguh Allah telah mengutuskan orang yang lebih baik daripadamu kepada orang yang lebih buruk daripadaku. Dia mengutuskan Musa yang lebih baik daripadamu kepada Firaun yang lebih buruk daripadaku, sedang Allah berfirman kepada Musa;

Ÿ

44. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, Mudah-mudahan ia ingat atau takut".(Thaha : 44)

Bukankah petandanya selalu ada pada wajah manusia? Mengapa? Kerana anda adalah orang yang memerintahkan kepada yang ma’ruf dan mencegah kepada yang mungkar. Manusia tidak mengkehendaki anda, tidak menghendaki kebijaksanaan anda, tidak menghendaki kebaikan dan tidak pula keburukan anda. Dan benar, demi Allah, anda senang sekiranya meihat senyuman dari wajah mereka. Maka sifat yang seharusnya disandang oleh orang – orang yang beriman adalah:

“Rendah hati terhadap orang – orang beriman, tegas terhadap orang – orang kafir” (Al Maidah : 54)

“Keras terhadap orang – orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka.” (Al Fath : 29)

(Daripada syarah zilal at-Taubah, Dr Abdullah Azzam)

Thursday, May 7, 2009

SAHABAT


Siapakah yang dikatakan sahabat? Adakah perlu dia kaya dan segak? Apakah perlu dia pandai mengambil hati? Mestikah dia tidak mementingkan diri sendiri? Atau.. Sahabat ialah orang yang sekepala dengan sahabatnya? Satu hala tuju dan matlamat yang selari?

Mestikah dia mengetahui kegemaran sahabatnya? Atau.. Adakah orang yang dapat gembira suka dan duka bersama? Membantu bila sahabatnya kesusahan? Atau.. Seorang sahabat ialah orang yang menjaga sahabatnya dari kemurkaan Allah? Dia menegur apabila sahabatnya lupa.. Pastinya dia orang yang menyayangi sahabatnya seperti menyayangi dirinya..

Kenapa mesti kita bersahabat???

1. Sebagai seorang manusia kita tidak dapat hidup bersendirian, kerana manusia dengan sifat kurniaan Allah itu saling perlu memerukan. Ibaratnya tidak ada diciptakan juga daripada golongan Adam sahaja tetapi diciptakan juga dari golongan Hawa. Kerana sudah menjadi fitrah manusia memerlukan teman..

2. Sahabat adalah cermin diri kita. Jka kita bersahabat dengan orang jahat,maka kita pasti dicerminkan sedemikian. Jika bersahabat dengan orang yang soleh, maka kita juga pasti dicerminkan sedemikian. Oleh yang demikian, pilihlah siapa sahabatmu..

3. Islam menganjurkan umatnya supaya memilih sahabat yang baik. Pilih sahabat yang baik seumpama jika kita berkawan dengan pelebur besi, maka kita pasti mendapat percikan api. Tapi jika berkawan dengan penjual haruman, maka kita pasti berbau harumannya.. Dan pohonlah kepada Allah supaya Allah mengurniakan kita sahabat yang boleh membawa kita untuk mendapat keredhaanNYA...




Thursday, April 23, 2009

Tidur-tidur yang sunat dikejutkan



Mengejutkan orang yang tidur disunatkan sekiranya orang itu tidur dalam keadaan berikut:

Pertama:

seorang yang tidur di masjid dan waktu solat sudah tiba. Ini berdasarkan hadis Abu Bakrah ra, beliau berkata:

خرجت مع النبي صلى الله عليه وسلم لصلاة الصبح فكان لا يمر برجل إلا ناداه بالصلاة أو حركه برجله

“ Aku keluar bersama Nabi saw untuk menunaikan solat subuh. Beliau tidak lalu pada mana-mana lelaki melainkan akan menyerunya untuk solat atau menggeraknya untuk solat dengan kakinya.” (Hr Abu Daud 1246 – semua perawinya thiqah)

Kedua:

Orang yang tidur dihadapan orang yang solat kerana menggangu orang yang solat.


Ketiga:


Tidur diatas permukaan bangunan tanpa penghadang.
Rasulullah saw bersabda:


من بات على ظهر بيت ليس له حجار فقد برئت منه الذمة

“Sesiapa yang tidur diatas permukaan bangunan tanpa ada penghadang (dari jatuh bangunan), sesungguhnya telah terlepas dari tanggungjawab mana-mana pihak (sekiranya jatuh). (Hr Abu Daud – semua perawinya adalah thiqah)

Keempat:


Tidur dalam keadaan separuh badan terkena cahaya matahari dan setengah lagi tidak kena.


Nabi saw bersabda:


إذا كان أحدكم في الشمس فلقص عنه الظل وصار بعضه في الشمس وبعضه في الظل فليقم

“Apabila salah seorang kamu berada di bawah pancaran matahari, kemudian matahari menaik dan sebahagian tubuh mu terkena pancaran matahari dan sebahgian yang lain tidak kena , hendaklah dia beredar.” (Hr Abu Daud – semua perawinya thiqah)


Kelima:


Tidur waktu subuh.

Nabi saw bersabda:


الصبحة تمنع الرزق

“Tidur subuh menegah rezki.” (Hr Ahmad – sanad lemah)


Umar bin Abdul Aziz apabila melihat anaknya sedang tidur waktu subuh, beliau mengejutkannya dan berkata:


الأرزاق تقسم وأنت نائم

“Rezeki dibahagi2kan sedangkan engkau tidur.”

Keenam:

Tidur sebelum isya kerana makruh tidur waktu itu. Ini disebut dalam hadis yang panjang, riwayat dari Abi Bakrah ra dimana beliau berkata:

كان يكره النوم قبلها والحديث بعدها

“Baginda tidak suka tidur sebelum solat isya dan sembang-sembang selepasnya.” (Hr Bukhari - sahih)


Ketujuh:

Tidur lepas solat asar.

Nabi saw bersabda:


من نام بعد العصر فاختلس عقله فلا يلومن إلا نفسه

" Sesiapa yang tidur selapas solat asar dan hilang akalnya , janganlah dia mencela melainkan dirinya.” (Hr Abu Ya’la – Sanad lemah)


Kelapan:


Tidur berseorangan di rumah. Hukum ini disebut oleh al-Hulaimi dalam kitabnya al-Minhaj Fi Syu’abil Iman.


Kesembilan:

Perempuan yang tidur menelentang. Ini kerana ianya makruh seperti yang disebut dalam kitab yang sama.
Umar bin Abdul Aziz telah menegah anaknya yang tidur sedemikian.


Kesepuluh:

Seseorang yang tidur meniarap. Baginda melihat seorang lelaki meniarap. Lalu baginda bersabda:

إن هذه ضجعة يبغضها الله ورسوله

Maksudnya: “Sesungguhnya ini adalah cara baring yang dimurkai oleh Allah dan Rasulnya.” (Hr Tirimizi dan Ahmad-hasan lighairihi)


Abu Umamah r.a berkata: Nabi s.a.w lalu dekat seorang lelaki yang tidur meniarap di Masjid. Lalu baginda memukulnya dengan kakinya dan berkata:

قم واقعد فإنها نومة جهنمية

Maksudnya: “Bangunlah kamu dari tidur dan duduklah sesungguhnya ini adalah cara tidur ahli neraka jahannam.” (Hr Ibnu Majah)

Kesebelas:

Mengejutkan orang tidur untuk bangun qiamullail.

Nabi saw bersabda:

رحم الله رجلا قام من الليل فصلى وأيقظ امرأته فإن أبت نضح في وجهها الماء رحم الله امرأة قامت
من الليل فصلت وأيقظت زوجها فإن أبى نضحت في وجهه الماء

“Allah merahmati lelaki yang bangun malam, menunaikan solat dan mengejutkan isterinya. Sekiranya isterinya enggan, dia akan merenjiskan air pada muka isterinya. Allah merahmati wanita yang bangun malam, menunaikan solat dan menegejutkan suaminya. Sekiranya suaminya enggan, dia akan merenjis air ke muka suaminya. (Hr Abu Daud 1308 – perwai2nya thiqah)


Ke dua belas:

Mengejutkan orang yang tidur untuk bangun sahur.
Nabi saw bersabda:

إن بلالا ينادي بليل فكلوا واشربواحتى ينادي ابن مكتوم

“Sesungguhnya bilal akan mengumandangkan azan pada waktu malam (sebelum subuh), maka makanlan dan minumlah sehingga Ibnu Maktum mengumandangkan azan subuh.” (Hr Muslim)


Rujukan: Tashilul Maqasid li Zuwwarul Masjid oleh Ibnul Ammad, Aunul Ma’bud oleh al-Abadi dan an-Nihayah oleh Ibnul athir.

Tuesday, April 21, 2009

Asas-asas perniagaan dalam Islam

Dipetik dari artikel JK Dana KNL

Di antara tujuan perniagaan diwujudkan ialah memenuhi tuntutan agama. Ini sesuai dengan tujuan syari'at diturunkan. Syari'at Islam diturunkan untuk memenuhi tahap dharuriyyah(keperluan asas) manusia yang didefinasikan sebagai pemeliharaan
5 perkara asas untuk kehidupan manusia iaitu:

1.AGAMA
2.NYAWA
3.AKAL
4.KETURUNAN
5.HARTA

Oleh itu Islam mengharamkan mafa'sid (segala yang boleh memberi kesan negatif keatas salah satu atau kelima-lima perkara ini) dalam kegiatan perniagaan kerana jelas ia boleh memberikan kesan yang negatif terhadap pencapaian dharuriyyah iaitu pemeliharaan kelima-lima perkara ini. Umpamanya, arak diharamkan oleh Islam.

1. Kita boleh memahami rasionalnya dengan menganalisa kesan negatif arak terhadap agama, nyawa, akal, keturunan dan harta manusia.

2. Apabila ianya boleh menjejas perkara-perkara ini ia akan merosakkan kehidupan bermasyarakat, menjejas ketahanan masyarakat dan nasib masa depan generasi akan datang.Perceraian, homoseksual, anak luar nikah, jenayah serta ketidakstabilan politik akan berleluasa.

3. Apabila perkara yang mafa'sid ini ditegah dan tidak dibenarkan untuk diperniagakan atau di keluarkan maka akan lahir masyarakat yang sihat, berakhlak mulia, produktif dan berkualiti tinggi.

Oleh itu kegiatan perniagaan dalam Islam adalah satu ibadah yang sekiranya dilakukan dengan niat yang ikhlas serta bersesuaian dengan kehendak syari'at Islam akan mendapat keredhaan Allah.

Ini selari dengan satu kaedah fiqh yang berbunyi:

Sesuatu itu wajib apabila yang wajib tidak dapat dilaksanakan tanpanya. Memenuhi tanggungjawab terhadap diri dan kehidupan sosial sesuai dengan kesan falsafah yang diasaskan oleh tauhid, tujuan kewujudan sesuatu syarikat ialah untuk memenuhi tanggungjawab berikut:

Perkhidmatan dan sumbangan sosial, termasuk berusaha untuk menegakkan
agama Islam, membantu kearah pencapaian matlamat negara seperti membasmi
kemiskinan, menyediakan pekerjaan, menstabilkan harga, keselamatan,
dan lain-lain.

Oleh itu jelas bahawa dalam Islam falsafah perniagaan ialah untuk membangunkan spiritual, mental dan jasmani manusia supaya manusia dapat melaksanakan tugasnya sebagai Khalifatullah fi Al-ardh' dengan sebaik mungkin. Dalam Islam apa sahaja yang kita lakukan untuk mencari harta adalah dilihat sebagai alat untuk mencapai matlamat yang unggul iaitu untuk mentaati Allah dalam semua aspek kehidupan kita. Oleh itu termasuk diantara tujuan perniagaan ialah untuk usahawan mendapatkan keuntungan kerana itu merupakan hak yang diberikan kepada mereka kerana usaha dan risiko yang harus mereka tanggung.