Tuesday, September 23, 2008

Muhasabah Ramadhan & Syawal


Seringkali masyarakat kita terlepas pandang beberapa perkara semasa Ramadhan Al-Mubarak dan Syawal:


1. Lebih mementingkan Bazaar Ramadhan daripada Masjid.
Kalau dikumpulkan semua yang ada kat bazaar, rasanya mau tak muat masjid. Lebih ramai dari solat Jumaat. Nampaknya ramai yang 'syahid' bila berperang dengan nafsu kat tempat ni. Kalau boleh nak dibelinya satu bazaar. Semua makanan sedap-sedap belaka. Tapi apakan daya, manusia hanya ada satu perut. Kalau nak makan banyak jugak macam empat perut lembu, baik jadi lembu...

2. Lebih mementingkan "nak berbuka apa hari ni?" daripada "nak beribadah apa hari ini?"
Pagi-pagi lagi dah tanya nak makan apa walaupun sedang berpuasa. Inilah nafsu tahap gaban. Tak kira masa semestinya tajuk utama Ramadhan ni adalah makan, makan, makan dan makan. Apa cerita ibadah kita? Qur'an dah habis baca? Zikir dah banyak buat ke? Qiyamullail bangun tak?

3. Tarawih di masjid hanya ramai pada separuh bulan yang pertama. Separuh bulan kedua kelihatan masjid semakin kosong.
Macam mana dengan ruh Ramadhan? Kejap turun kejap naik. Hangat-hangat taik ayam jee.. Panas sekejap pastu sejuk. Macam dah jadi budaya. Kalau betul-betul nak makmurkan masjid, datang la tiap-tiap hari. Separuh Ramadhan yang kedua seolah-olah telah dikosongkan masanya untuk persediaan menyambut raya. Ramadhan tak habis lagi dah nak sambut raya.

4. Lebih banyak beribadah pada separuh bulan yang pertama. Separuh bulan kedua semakin kurang beribadah.
Inilah trend setiap tahun. Tak pernah berubah. Patutnya, semakin akhir Ramadhan, semakin digandakan ibadah untuk menyambut Lailatul Qadar. Anggaplah juga Ramadhan ini Ramadhan yang terakhir. Ini kerana kita belum tentu dapat berjumpa dengan Ramadhan yang akan datang. Sebaliknya, semakin akhir Ramadhan, semakin digandakan pengurangan ibadah. Qiyamullail makin kurang, baca Qur'an makin kurang, zikir pun makin kurang. Kesian umat sekarang...

5. Lebih bergembira datangnya Syawal daripada datangnya Ramadhan.
Ramadhan diibaratkan bulan seksaan, Syawal dianggap bulan kegembiraan. Tiada penghayatan terhadap kelebihan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain. Sedangkan generasi-generasi mukmin terdahulu amat bergembira apabila datangnya Ramadhan dan menangisi apabila Ramadhan akan berakhir. Kalau boleh, mereka ingin setiap bulan adalah bulan Ramadhan kerana gandaan ganjaran pahalanya yang besar tidak ada pada bulan-bulan yang lain.

6. Lebih mementingkan sahur daripada qiyamullail dan solat subuh.
Kalau bangun sahur, bukan main sharp lagi masanya. Tapi qiyamullail dan solat Subuh tidak ada dalam kamus minda. Yang penting sahur dan niat puasa. Pastu tidur. Tak solat pun takpa. Yang penting puasa. Sikap ini perlu dihindarkan. Bangun la Subuh. Dosa besaq nooo... 60 tahun dalam neraka sekali tinggal solat Subuh.

7. Masa 10 akhir Ramadhan takda masa untuk bangun malam. Tapi nak buat kuih, kek, lemang, ketupat boleh berjaga malam pulak.
Inilah semangat yang tak pernah padam. Semangat lemang, berjaga malam pun takpa. Nak buat kuih, kek, berjaga malam pun takpa. Tapi bila tahajjud, tak mampu pulak. Takda masa. Pelik, pelik... Apa yang susahnya bangun malam solat tahajjud dua rakaat. Tapi yang nilah yang paling berat bila nak melakukannya. Mulakan yang mudah dengan tahajjud dua rakaat. Sekejap je. Dah biasa nanti, buat la panjang sikit. Bangun malam tengok bola berjam-jam boleh. Solat malam beberapa minit pun susah? Fikirkan...

8. Duit berhabis-habisan untuk sambut Syawal. Tapi tak berhabisan-habisan pulak untuk bersedekah semasa Ramadhan.
Sikap ini masih sukar dikikis. Mau tidak mau, langsir rumah kena tukar baru, perabot kena tukar baru, rumah kena cat baru, hiasan dinding kena baru, baju melayu baru, kurung baru, sampin baru, songkok baru, pendek kata, serba baru. Itu tak masuk kuih-kuih dan makanan utama lagi - rendang, ayam, nasi impit, lemang, ketupat dan yang sewaktu dengannya. Apa salahnya kekalkan apa yang masih boleh digunakan. Tak perlu membazir. Yang peliknya, masa bulan Ramadhan, susah betul nak bersedekah. Tong sedekah kat masjid lalu je, muka macam mangga buruk, takda duit konon. Sedangkan Ramadhan adalah waktu yang terbaik untuk bersedekah.

9. Ada baiknya 'duit raya' disedekahkan lebih banyak kepada fakir miskin daripada diberi pada kanak-kanak.
Mungkin cadangan ni nampak pelik. Kanak-kanak yang biasa kita lihat, mak ayahnya mampu menanggung mereka. Tak perlu banyak-banyak bagi duit raya. Dahulukan duit raya tu kepada yang lebih memerlukan. Kanak-kanak sudah pasti habiskan duit mereka di kedai runcit membeli makanan ringan yang kurang berkhasiat, mengayakan tokey-tokey kedai sedangkan fakir miskin dan anak-anak yatim lebih memerlukan untuk membeli barang, makanan dan keperluan asas harian. Buat pertimbangan yang betul untuk 'menghabiskan' duit raya tersebut dengan bersedekah di tempat yang betul.

10. Solat tarawih berjamaah sampai penuh masjid tapi solat fardhu berjamaah, sampai penuh tiang masjid.
Hakikat ini tidak dapat dinafikan. Bulan Ramadhan memang meriah dengan agenda solat tarawih di masjid. Cuba lihat sebelum dan selepas Ramadhan. Masjid hanya jadi tempat singgahan pada Ramadhan dan kembali ditinggalkan selepasnya. Mengapa jadi begini, tepuk dada tanya iman. Kalau tanya selera, memang selera tak pernah surut. Rasulullah s.a.w. amat memberatkan solat fardhu lima waktu berjamaah hingga baginda mengancam mahu membakar rumah yang penghuninya tidak solat berjamaah. Takda pun dalam hadis Rasulullah s.a.w. memberatkan solat tarawih berjamaah. Tapi yang ni pulak diutamakan masyarakat kita. Biarlah seimbang. Solat fardhu berjamaah buat, solat tarawih berjamaah pun buat.

Ramadhan Dua Zaman (The Zikr)

Ramadhan satu nasib tak serupa
Peluangnya sama natijah berbeza

Ramadhan mereka gemilang cemerlang
Mukmin berjasa di awal zaman

Ramadhan kami malang terbuang
Muslim berdosa di akhir zaman

Mereka gembira kerana kedatanganmu
Kami gembira dengan pemergianmu

Malam mereka meriah disimbah nur al-Qur’an
Tapi malam kami muram berkabung dengkur

Mereka berlumba mengejar ma’rifat
Tapi kami lesu diburu nafsu

Hati mereka bercahaya digilap taqwa
Jiwa kami gelap didera dosa

Takbir mereka takbir kemenangan
Hadiah mujahadah sebulan Ramadhan

Takbir kami lesu tak bermaya
Tanda kalah lemah tak bermaya
Puasa sekadar lapar dan dahaga


No comments:

Post a Comment

SiteSearch Google
Google