Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa seorang lelaki berkata kepada Rasulullah S.A.W : “Berilah wasiat kepada aku”. lalu Rasulullah S.A.W bersabda : “Jangan Marah”. Lelaki tersebut mengulangi pertanyaannya berkali-kali, sabda Rasulullah: ”Jangan Marah” . [Sahih Bukhari]
Hadith di atas menceritakan berkenaan menahan marah. Jika diteliti, perkataan yang diucapkan oleh Nabi amatlah ringkas, tetapi padanya terhimpun segala kebaikan dan menghalang segala kejahatan.
Muslim adalah seorang insan yang mempunyai sifat-sifat yang mulia sperti lemah-lembut, malu, tawaduk, kasih kepda manusia, memberi keampunan ketika mampu membalasnya, sabar di atas kesusahan, menahan marah ketika orang melakukan kesalahan ke atas dirinya dan bermanis muka dalam semua keadaan.
Imam Hasan Al-Basri telah berkata :” 4 perkara sesiapa memilikinya Allah akan memeliharanya daripada syaitan dan mengharamkannya daripada api neraka. Iaitu siapa yang mampu menahan nafsunya
ketika berkeinginan,
ketika takut,
ketika bersyahwat dan
ketika marah. ”
Mudah marah dan tunduk kepadanya adalah petanda lemahnya insan sekalipun memiliki tubuh badan yang gagah dan sihat.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya : Rasulullah s.a.w. bersabda : ”Bukanlah orang yang gagah itu orang yang kuat bergusti, tetapi orang yang gagah adalah orang yang mampu menahan dirinya ketika marah.”
Sebab-sebab kemarahan
Banyak dan berbagai, antaranya :
- sombong
- takabur
- ingin mengatasi orang lain
- megah
- terlalu banyak bergurau terutamanya dalam perkara yang bukan kebenaran.
Cara merawat kemarahan
1. Melatih dan membiasakan diri supaya berakhlak dengan akhlak yang mulia seperti lemah-lembut, sabar dan tenang dalam pengurusan. Contoh ikutan kita dalam hal ini ialah Rasulullah s.a.w. sendiri.
Zaid Bin Sa’nah berjumpa Nabi (sebelum keislamannya) untuk menguji sifat kenabian dan pada masa yang sama untuk menuntut hutang Nabi kepada beliau. Lalu Zaid menuntutnya dengan keras dan kasar hingga berbekas pada leher Nabi akibat sentakan Zaid. Lantas Umar yang berada disitu marah dan ingin membalas perbuatan Zaid tadi, tetapi Nabi berlapang dada dan tersenyum dengan perbuatan Zaid itu dan sebaliknya memarahi Umar ” Kamu sepatutnya menuruh aku(Nabi) membayar hutang dan menyuruh Zaid menuntut hutang dengan cara yang baik.” Lalu Rasulullah menyuruh Umar membayar hutang lelaki Zaid dan menambah jumlahnya disebabkan kekasaran Umar kepada Zaid.
Dengan sebab itu, Zaid kemudiannya memeluk Islam. Maka benarlah antara salah satu sifat nabi ialah sifat lemah lembutnya mengatasi sifat marahnya dan sifat terlalu jahil orang yang jahil akan menambahkan lagi sifat lemah lembutnya.
2.Mengawal diri ketika marah.
Imam Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : ”Barangsiapa yang menahan kemarahannya sedangkan dia mampu untuk melakukannya, Allah akan memanggilnya dihadapan khalayak ramai di hari akhirat kelak serta diberi peluang untuk memilih mana sahaja bidadari yang dia kehendaki”
Imam Ahmad : ”Tidak ada seorang hamba yang menahan kemarahannya melainkan Allah akan memenuhkan hatinya dengan iman”
3. Meminta perlindungan dari Allah.
Rasulullah s.a.w. bersabda : ”Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah sekiranya dia menyebutnya, nescaya akan hilang apa yang ada padanya(kemarahan), jika ia mengatakan : Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam” [Sahih Bukhari dan Muslim]
4. Mengubah kedudukan ketika marah.
Imam Ahmad dan Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : ”Apabila salah seorangkamu marah dalam keadaan berdiri, maka hendaklah dia duduk, maka akan hilanglah kemarahannya, sekiranya tidak hilang, maka hendaklah dia berbaring.”
5. Tidak berkata-kata.
Imam Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : ”Apabila salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah dia diam.” Rasullulah mengulanginya sebanyak 3 kali.
6. Berwuduk.
Imam Ahmad dan Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
”Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan dijadikan daripada api. Apabila seseorang daripada kamu marah, hendaklah dia berwuduk”
Langkah-langkah diatas adalah bagi mengatasi kemarahan. Tetapi disebalik semua itu, Islam mencela kemarahan atas dasar membalas dendam dan bukan kerana Allah sebaliknya Islam membenarkan kemarahan kerana Allah disebabkan perkara yang diharamkan oleh agama dicerobohi. Juga apabila sesuatu mengancam jiwa, harta dan kehormatan seorang muslim. Dalam hal ini, marah adalah satu perkara yang terpuji dan dituntut.
Telah diriwayatkan : ”Rasulullah s.a.w. tidak pernah marah dengan sesuatu sebab. Tetapi apabila apa yang diharamkan oleh Allah dilakukan, maka pada ketika itu sesuatupun tidak boleh menundukkan kemarahannya.”
Hadith ini boleh dilihat dari aspek lain. Seorang muslim perlulah berfikir dahulu sebelum bercakap atau membuat sesuatu. Sebaik sahaja perasaan marah menguasai diri, seseorang hendaklah memikirkan kenapa marah itu datang dan adakah perlu untuk marah?? Juga perlu untuk ingat kepada Allah dan hari akhirat, ini akan membuatkan seseorang itu untuk bertenang dan tidak jadi marah.
Semua huraian ini boleh digunakan sebagai cara untuk mengawal kemarahan yang mana kalau dilihat pada masa kini, kita marah terhadap perkara yang tidak sepatutnya dan kadang-kadang hingga hampir terjadi pergaduhan. Jadi sebelum marah tu, fikir dahulu apa akan kita dapat jika kita marah..
wallahu'alam
sumber : 1.Syarah Hadith 40 Imam Nawawi
2.http://fortyhadith.iiu.edu.my
No comments:
Post a Comment